UMNO Pengerang hantar 50 petugas
9 Okt, Pengerang - UMNO Bahagian Pengerang menghantar jentera seramai 50 petugas untuk membantu kempen bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil di Bagan Pinang, Negeri Sembilan pada Ahad ini.
Ketuanya, Datuk Seri Azalina Othman berkata, kempen turun padang itu lebih memberi tumpuan kepada pengundi Cina dan India yang terletak di kawasan kedai dan ladang.
Beliau berkata, ia kemudian diikuti dengan lawatan rumah ke rumah di kawasan majoriti Melayu seperti perkampungan nelayan dan kampung tradisional.
“Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tepat pada masanya apabila tumpuan pembangunan yang diberikan meliputi kepada semua kaum tanpa ada yang dipinggirkan.
“Kerajaan BN juga dilihat lebih banyak menjaga kepentingan mereka berbanding yang lain. Maklum balas dari masyarakat Tionghua dan India juga dilihat begitu positif kerana ramai daripada mereka lebih mengenali pada calon BN, Tan Sri Isa Samad dan kemenangan yang lebih besar harus diberi kepada kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Azalina melahirkan keyakinan bahawa pengundi sentiasa bijak dalam membuat keputusan bagi memilih pemimpin yang benar-benar layak dan dapat membantu mereka pada masa akan datang.
Pada kempen itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada masyarakat India di Ladang Siliau.



































